KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga kapal tangki yang disyaki menjadi kapal induk kepada nelayan asing di perairan pantai timur, Khamis lalu.
Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua kapal bersama 33 kru warga Thailand dan Kemboja itu ditahan dalam Op Kuda Laut di kedudukan antara 124 hingga 130 batu nautika dari Kuala Kemaman.
Katanya, ketiga-tiga kapal yang berdaftar di Thailand dan Mongolia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen di samping insuran, ketika ditahan.
“Kita menerima maklumat terdapat kapal-kapal yang melalui perairan Terengganu bertindak sebagai kapal induk yang membekalkan minyak kepada bot-bot nelayan Vietnam yang menjalankan aktiviti menangkap ikan secara haram dalam zon perairan Malaysia.
“Berdasarkan saiz, ciri kapal dan pemeriksaan awal di lokasi serta kegagalan mengemukakan sebarang dokumen berkaitan, adalah disyaki kapal-kapal tangki ini merupakan kapal induk nelayan warga Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Zon Maritim Kemaman di sini hari ini.
Muhammad Suffi berkata, kapal pertama dianggarkan berukuran 72 meter panjang dengan berat 650 tan manakala kapal kedua sepanjang 43 meter dan ketiga pula 34 meter, dengan kesemuanya membawa lebih 500,000 liter diesel.
Katanya, pemeriksaan turut menjumpai buku log atau dokumen transaksi jualan diesel kepada bot nelayan asing Vietnam di samping mata wang Malaysia bernilai RM700 dan Thailand TB9,500.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar (MS0) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Penahanan tiga kapal tangki yang mencurigakan dan disyaki menjadi kapal induk kepada nelayan warga Vietnam ini merupakan kejayaan terbesar Maritim Malaysia dalam memerangi pencerobohan perairan negara seterusnya membuktikan peranan kapal induk dalam isu pencerobohan perairan,” katanya. – UTUSAN ONLINE