Kerani terpedaya ditipu 'ahlong Facebook' - Utusan Malaysia

Kerani terpedaya ditipu ‘ahlong Facebook’

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerani wanita berusia 35 tahun di sini kerugian RM49,890 selepas diperdaya ‘ahlong Facebook’ yang memintanya melakukan pelbagai jenis bayaran untuk proses memohon pinjaman. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa melayari Facebook pada 18 Ogos lalu dan berminat memohon pinjaman yang diiklankan di laman sosial tersebut.

Ujar beliau, wanita tersebut memberikan maklumat peribadi kepada individu yang memuat naik iklan pinjaman tersebut sebelum dia dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa diarahkan membuat pelbagai jenis bayaran ke dalam lima akaun dimiliki individu berlainan melalui 23 transaksi melibatkan nilai RM49,890.

“Selepas diminta membuat beberapa lagi bayaran, mangsa berasa tertipu dan bertindak membuat laporan polis,” ujarnya di sini hari ini. 

Sementara itu, seorang lelaki yang merupakan pekerja bengkel besi berusia 35 tahun di sini turut mengalami kerugian setelah berurusan dengan pemberi pinjam wang di laman Facebook.

Menurut Mohd. Wazir, mangsa yang ingin meminjam RM30,000 diminta oleh suspek membuat beberapa bayaran berjumlah RM6,450. 

“Mangsa memasukkan wang ke dalam empat akaun berlainan melalui lima transaksi, tetapi diminta melakukan beberapa lagi bayaran lain.

“Sejurus berasa tertipu, mangsa membuat laporan polis. Kedua-dua kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya