LISBON: Hancur dan malu.
Itulah perasaan pemain-pemain Barcelona selepas dibelasah 8-2 oleh Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara, kata bek tengah, Gerard Pique.
“Ia perlawanan yang dahsyat, sangat dahsyat. Perkataan paling sesuai, memalukan.
“Anda tidak boleh bersaing seperti ini di peringkat Eropah. Ini bukan kali pertama atau kedua perkara sebegini berlaku kepada kami.
“Kelab perlukan perubahan. Saya tidak bercakap tentang jurulatih atau pemain atau menyingkirkan seseorang tetapi kami kena tukar struktur sebab ini bukan kali pertama,” kata Pique kepada Movistar.
Kali terakhir juara lima kali, Barcelona merangkul kejuaraan Eropah ialah pada 2015 dan kekalahan hari ini menyusul selepas mereka tewas gelaran liga Sepanyol kepada Real Madrid.
“Ia perlawanan yang teruk. Ia meninggalkan perasaan yang buruk dan sangat memalukan,” kata pemain berusia 33 tahun itu.
Dalam aksi di Lisbon awal pagi tadi, Thomas Mueller dan Philippe Coutinho masing-masing meledak dua gol.
Empat lagi jaringan Barcelona hadir menerusi Ivan Perisic, Serge Gnabry, Joshua Kimmich dan Robert Lewandowski.
Kekalahan itu juga menimbulkan persoalan serius mengenai masa depan Lionel Messi di Sepanyol.- AGENSI