Jangan bimbang keluar mengundi - Polis - Utusan Malaysia

Jangan bimbang keluar mengundi – Polis

RAZARUDIN Husain (kiri) memakaikan pangkat kepada Omar Bakhtiar Yaacob pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di Kuala Kangsar, Perak hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Polis menasihatkan pengundi agar tidak bimbang mengenai keselamatan mereka apabila keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Sabtu ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, polis sudah membuat persediaan secukupnya dalam aspek keselamatan selain rondaan serta kawalan lalu lintas bagi memastikan pengundian berjalan lancar. 

“Pengundi tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat persediaan rapi untuk proses pengundian Sabtu ini. 

“Pengundi disarankan supaya keluar mengundi awal dan mengikut masa keluar mengundi yang dicadangkan oleh SPR agar semua dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan selesa,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar di antara Asisten Komisioner Razali Ibrahim dan Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Omar Bakhtiar, 56, yang sebelum ini Ketua Polis Daerah Kerian dinaikkan pangkat daripada Superintenden kepada Asisten Komisioner dan mula bertugas di IPD Kuala Kangsar hari ini manakala Razali, 60, bersara wajib bermula esok. 

Menurut Razarudin, SPR menyediakan saluran mengundi yang selesa untuk pengundi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mencegah Covid-19, termasuk saluran khas untuk pengundi bergejala. 

Beliau berkata, setakat kempen PRK Slim berjalan dengan aman dan tiada sebarang provokasi daripada mana-mana pihak. 

“Namun polis mengingatkan semua pihak terutama calon bertanding dan penyokong mereka agar terus memastikan keadaan sekarang terus aman,” katanya. 

Menurutnya, setakat ini empat laporan polis berkaitan PRK DUN Slim diterima namun hanya satu kertas siasatan dibuka.

Beliau berkata, ia melibatkan kes khianat iaitu satu papan kempen calon bertanding telah disembur dengan cat di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Changkat Sulaiman, Sungkai.

“Tiga laporan lain termasuk dakwaan penyalahgunaan agensi kerajaan ketika berkempen pula kita klasifikasikan sebagai tiada apa-apa kesalahan (NOD),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya