PASIR GUDANG: Enam samseng jalanan terdiri remaja berusia antara 13 dan 16 tahun ditahan polis menerusi Op Samseng di Taman Scientex di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, polis turut menyita lima buah motosikal dan mengeluarkan enam saman melibatkan 17 kesalahan.
“Operasi ini dilakukan kerana lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai ‘hot spot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya. Antara aksi berkenaan termasuk melakukan wheelie, menunggang secara zig zag serta pelbagai aksi lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, hasil saringan air kencing yang dilakukan terhadap enam remaja terbabit didapati negatif manakala kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Kumarasan turut memaklumkan pihaknya telah menjalankan 10 Op Samseng Jalanan, 27 Op Mabuk dan 14 Op Perdagangan sejak 1 Ogos lalu sehingga semalam.
“Op Samseng Jalanan menyaksikan 20 tangkapan dibuat, Op Mabuk pula 36 tangkapan manakala 11 kertas siasatan dibuka menerusi Op Perdagangan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE