LONDON: Jaguh Russia, Andrey Rublev cuba memberikan kejutan kepada Novak Djokovic dengan memenangi set pertama, namun akhirnya gagal menyekat juara bertahan itu daripada memenangi aksi suku akhir tenis Wimbledon hari ini.
Langkah pemain No. 2 dunia, Djokovic, 36, terlalu sukar dibendung apabila dia melakar kemenangan ke-33 berturut-turut di Kelab Tenis All England selepas menang 4-6, 6-1, 6-4, 6-3.
Satu lagi pertembungan sengit bakal menanti jaguh Serbia itu yang turun memburu rekod kejuaraan kelapan dan kelima berturut-turut apabila berdepan pilihan kelapan dari Itali, Jannik Sinner pada separuh akhir, Jumaat ini.
From defence to attack.
Incredible from @DjokerNole 💪#Wimbledon pic.twitter.com/YTOmsC31KQ
— Wimbledon (@Wimbledon) July 11, 2023
“Saya rasa hari ini dia (Rublev) bermain tenis dengan hebat.
“Dia memberikan banyak tekanan, bermain sangat pantas, berdiri dekat dengan garisan dan cuba menolak saya ke belakang.
“Beberapa mata dalam perlawanan itu sangat panjang dan meletihkan. Perlawanan pada penghujung set ketiga di mana pada dasarnya ia telah diputuskan. Saya sangat lega apabila memenangi set ketiga,” kata Djokovic.
Djokovic melakar kemenangan lebih mudah ketika kali terakhir menumpaskan Rublev pada Terbuka Australia, Januari lalu iaitu 6-1, 6-2, 6-4. – AGENSI