LONDON: Selepas menempatkan dirinya sebaris Roger Federer dan Rafael Nadal dengan menjuarai Grand Slam ke-20 pada kejohanan Wimbledon semalam, semua mata terarah kepada Novak Djokovic untuk memahat sejarah bergelar pemain pertama meraih gelaran ‘Golden Slam’.
Pemain tenis No. 1 dunia itu merangkul gelaran Wimbledon keenam dan Grand Slam ke-20 selepas menumpaskan pemain Itali, Matteo Berrettini 6-7 (4/7), 6-4, 6-4, 6-3 dalam perlawanan akhir semalam.
Djokovic mampu mampu menyamai rekod 52 tahun milik Rod Lever dengan menyapu bersih semua empat trofi Grand Slam dalam satu musim jika menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) bermula bulan depan.
Dia juga menjadi harapan Serbia untuk melengkapkan ‘Golden Slam’ dengan memenangi pingat emas Sukan Olimpik di Tokyo yang bermula 23 Julai ini.
Beraksi di Olimpik dan memenangi emas buat negaranya sentiasa menjadi impian Djokovic, yang meraih gangsa di Beijing 2008.
Bagaimanapun, dia kini perlu memikirkan semula rancangan ke Tokyo kerana kebimbangan terhadap pandemik Covid-19.
“Saya perlu fikirkan semula tentangnya.
“Saya dengar ada banyak sekatan dalam Perkampungan Sukan, malah anda mungkin tidak dibenarkan langsung untuk melihat atlet lain beraksi.
“Selepas semua yang saya dengar, keputusan sekarang 50-50. Saya akan buat keputusan beberapa hari menjelang temasya,” katanya.
Sementara itu, Djokovic melihat dirinya sebagai pemain terbaik dunia ketika ini, namun belum layak digelar terbaik sepanjang zaman.
“Terbaik sepanjang zaman? Biarlah orang ramai menentukannya.
“Era sebelum ini sukar untuk dibandingkan, Kami memiliki raket berbeza, teknologi, bola dan gelanggang berbeza. Keadaan dulu sangat berbeza dengan sekarang, sukar untuk bandingkan 50 tahun lepas dengan sekarang.
“Bagaimanapun saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada sejarah sukan ini,” katanya.
Dia berjaya merangkul tujuh Grand Slam daripada lapan kejohanan terakhir yang disertainya dengan sekali kalah kepada Nadal di Terbuka Perancis, tahun lalu. – AGENSI