MELBOURNE: Daniil Medvedev mempamer prestasi terbaiknya untuk menumpaskan bintang Greece, Stefanos Tsitsipas dan menempah pertemuan akhir Terbuka Australia menentang pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic.
Jaguh No. 4 dunia dari Rusia itu sukar digugat apabila hanya memerlukan dua jam untuk menyingkirkan Tsitsipas 6-4, 6-2, 7-5, sekali gus melangkah ke perlawanan akhir Grand Slam buat kali kedua selepas Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2019.
Kemenangan itu juga membolehkannya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 20 perlawanan berturut-turut dan berada pada keyakinan tertinggi untuk merangkul kejuaraan Grand Slam buat kali pertama.
Beraksi di depan 7,000 penonton di Rod Laver Arena, Medvedev amat bersemangat untuk menamatkan permainan secepat mungkin bagi memastikan dirinya dalam keadaan cukup cergas untuk menghadapi juara lapan kali, Djokovic.
“Menentang Novak tidak mudah tetapi saya gembira berjaya melepasi separuh akhir dan melakukan servis yang bagus,” kata Medvedev, yang muncul pemain lelaki Rusia ketiga melangkah ke final Terbuka Australia selepas Yevgeny Kafelnikov dan Marat Safin.