PETALING JAYA: Aira Azman menjadikan bintang No. 9 dunia, S. Sivasangari sebagai sumber inpirasi untuk dia merangkul gelaran keduanya pada Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz 2024 di Kompleks Sukan Tan Seri Dato’ Hj Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Pemain berusia 20 tahun yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu berjaya melakar kemenangan straight set ke atas seteru ketatnya Chan Sin Yuk dari Hong Kong 11-9, 11-9, 11-9 dalam masa 27 minit pada perlawanan akhir.
Kemenangan tersebut merupakan gelaran keduanya pada kejohanan itu selepas pernah berbuat demikian pada 2022.
Bagaimanapun, Aira yang mara ke perlawanan akhir buat kali ketiga berturut-turut tumpas kepada Sivasangari pada final, tahun lalu yang turut menyaksikan gelaran yang dimenangi seniornya merupakan satu kebangkitan selepas ditimpa kemalangan jalan raya.
Aira berkata, kecekalan yang ditunjukkan Sivasangari untuk bangkit selepas ditimpa kecederaan kepala telah mendorongnya melakukan perkara sama memberikan yang terbaik dalam apa juga pertandingan disertai.
“Tahun lalu saya tewas kepada Sivasangari, dia menjadi sumber inspirasi kepada semua orang kerana selepas dia kembali ke gelanggang dia masih mampu merangkul gelaran walaupun pernah ditimpa kecederaan parah di kepalanya.
“Dari situ saya yakin kalau dia boleh lakukan mengapa tidak saya. Saya pun boleh lakukan perkara sama, sebab itu saya bermain bermati-matian untuk menang hari ini,” katanya yang ditimpa kecederaan lutut sewaktu separuh akhir, kelmarin.
Mengulas mengenai persembahannya menentang Sin Yuk, Aira memberitahu, kali terakhir berdepan seteru ketatnya itu dia tewas sewaktu beraksi pada Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
Jelasnya, kekalahan kakaknya, Aifa ditangan Sin Yuk pada separuh akhir, kelmarin, telah menjadikan dia lebih berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan sama.
“Aifa banyak membantu saya dan dia tegur saya untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukannya dan informasi yang dikongsinya benar-benar membantu kemenangan saya hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, pilihan keempat, Abhay Singh dari India mengejutkan pilihan pertama, Lau Tsz Kwan dari Hong Kong 7-11, 11-8, 12-10, 11-4 untuk merangkul gelaran dalam saingan lelaki.-UTUSAN