MELAKA: Pemain sepak takraw wanita meminta Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menganjurkan lebih banyak pertandingan di setiap negeri bagi membolehkan mereka berdaya saing.
Mereka menyifatkan ketiadaan banyak pertandingan menyebabkan skuad sepak takraw wanita kebangsaan tidak berupaya menyaingi kehebatan Thailand dan Vietnam, dua nama besar di Sukan SEA, Sukan Asia serta Piala Raja Thai.
Pelibas kebangsaan, Nur Athirah Roslan, 22, berkata, pemain wanita memerlukan lebih banyak kejohanan untuk meningkatkan prestasi dan memantapkan corak permainan supaya mampu meraih pingat Sukan SEA di Thailand, tahun depan.
Beliau yang mewakili Perak di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024 berkata, ketiadaan pertandingan yang kompetitif menyebabkan rata-rata pemain tidak dapat menilai keupayaan dan kewibawaan masing-masing.
“Saya sangat berharap beberapa kejohanan sepak takraw untuk wanita dapat diadakan seperti Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024. Kami kekurangan pertandingan dan tidak dapat memantapkan prestasi terbaik.
“Ini kali pertama kami dapat bermain di kejohanan peringkat tempatan dan dapat menilai keupayaan sebenar dan kelemahan perlu diatasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, seorang lagi pemain, Siti Nor Suhaida Jafri, 28, selaku tekong Kuala Lumpur berkata, kejohanan untuk wanita sepatutnya diadakan sekurang-kurangnya lima kali setahun.
“Itu bertujuan untuk setiap pemain dapat memperbaiki corak permainan serta mampu meningkatkan prestasi. Kita lihat regu lelaki kerana banyak kejohanan seperti Liga Sepak Takraw (STL), Piala Emas Khir Johari dan banyak lagi, prestasi kita mampu bersaing dengan gergasi Thailand,” katanya. – UTUSAN