KL, Terengganu tepati ramalan awal

KL, Terengganu tepati ramalan awal

AKSI KL berdepan ATM dalam perlawanan pertama Kumpulan D Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2024 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pilihan utama Kuala Lumpur (KL) tidak berdepan tugas getir apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aksi pertama Kumpulan D acara beregu lelaki pada hari pertama Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali yang membuka tirai hari ini di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini.

Reputasi KL yang memenangi lima kejuaraan Grand Prix Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) 2024 nyata unggul dan langsung tidak mampu dicabar ATM yang tunduk dengan keputusan 15-13 dan 15-9 dalam tempoh 45 minit.

KL yang menurunkan Muhammad Syahir Mohd. Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Aekkasit Naphom (apit kanan) dicabar barisan ATM, Muhammad Ikmal Hakimi Azli Sham (tekong), Muhammad Fetri Mohd. Azwadi (apit kanan) dan Muhamad Umar Mohamad (apit kiri) pada set pertama.

Pasukan pilihan itu kemudian mengeluarkan Muhammad Syahir diganti Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican pada set kedua dan mencapai kemenangan mudah 15-9.

Esok, mereka dijangka berdepan tugas rumit berdepan Terengganu dalam perlawanan kedua kira-kira pukul 5.30 petang.

Terengganu pula meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan D, walaupun terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Selangor 10-15, 15-10 dan 15-10.

Skuad penyu yang diperkuatkan Muhammad Zulkifli Abd. Razak (tekong), Muhammad Khairul Aman Mohd. Rosdi (apit kanan) dan Muhamad Zulhusni Basri (apit kiri) tewas set pertama dengan keputusan 10-15.

Bagaimanapun, mereka bangkit menerusi rejaman hebat Muhamad Zulhusni untuk memenangi set kedua 15-10, lantas mengheret ke set penentuan yang turut memihak kepada Terengganu apabila mencatat kemenangan 15-10.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan C, Pahang yang membariskan Wirawut Na Nongkai (tekong), Mohammad Alif Najmi Mazaidan (apit kanan) dan Mohammad Kamarul Ezzat (apit kiri) mudah menjinakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan keputusan 15-11 dan 15-8.

Pulau Pinang melakukan kejutan apabila menewaskan Johor dalam pertarungan sengit tiga set dengan mencatat keputusan 15-9, 10-15 dan 15-7. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya