Bomba kejutkan Negeri Sembilan, KL teruskan rentak

Bomba kejutkan Negeri Sembilan, KL teruskan rentak kemenangan

MELAKA tewas kepada Pulau Pinang dalam acara regu lelaki di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2024, Negeri Sembilan menerima kejutan apabila tunduk 1-2 kepada pasukan bukan pilihan, Bomba dalam perlawanan Kumpulan B beregu lelaki di Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini, semalam.

Turun selaku pasukan pilihan selepas mempertahankan gelaran juara STL dua tahun berturut-turut, Negeri Sembilan mempertaruhkan barisan sama iaitu Muhammad Haziq Hairul Amin (tekong), Muhammad Hafizul Hayazi (apit kanan) dan Zuleffendi Sumari (apit kiri) tetapi segalanya tidak menjadi.

Selepas menang perlawanan pertama menewaskan Sabah dengan keputusan 15-9 dan 15-9 dalam aksi pertama kelmarin, pasukan itu sepatutnya tidak berdepan tugas getir berdepan Bomba yang mempertaruhkan Worapat Kaewtawatwiset (tekong), Rizani Ruzaini (apit kanan) dan Nik Muhammad Afiq (apit kiri).

Langkah awal Negeri Sembilan bermula cemerlang menang set pertama 15-11, namun pada set kedua mereka tunduk tipis 16-17 hingga memaksa permainan tie-break yang memihak kepada Bomba apabila menang 17-14.

Aksi memakan masa selama 65 minit itu menjadi tumpuan peminat hingga menghangatkan suasana di Dewan Bola Keranjang MBMB. Negeri Sembilan dijangka tidak menghadapi masalah menang ke atas KPM-MASSM dalam perlawanan terakhir Kumpulan B untuk layak ke suku akhir.

Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Kumpulan D walaupun terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan Terengganu 2-1.

Dibarisi tekong tersohor, Muhammad Syahir Mohd Rosdi serta diperkuatkan Amirul Zazwan Amir sebagai apit kiri dan Muhammad Redwan Hakim tewas tipis 16-17 pada set pertama.

Namun, KL kembali bertenaga apabila mencatat kemenangan mudah 15-10 untuk mengheret ke perlawanan tie-break dan menang 15-9.

Dalam pada itu, Perak yang dikejutkan apabila tewas 2-1 kepada Pulau Pinang dalam aksi pertama bangkit dengan kemenangan mudah menewaskan KPM-MSSM 15-7 dan 15-7.

Sementara itu, Pulau Pinang mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan A apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut menewaskan tuan rumah, Melaka 15-9 dan 15-10. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya