MAKAF sasar pertahan sembilan pingat emas di Sukan SEA

MAKAF sasar pertahan sembilan pingat emas di Sukan SEA 2027

NUR AZMI Ahmad ditemui selepas Majlis Perasmian Kejohanan Karate Kadet Remaja MAKAF Ke-32 dan Bawah 21 Tahun Kebangsaan 2024 di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Skuad karate negara membuat persiapan rapi berikutan Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dengan sasaran mempertahankan sembilan pingat emas yang menjadi pencapaian terbaik sejak 1977.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, Kejohanan Karate Kadet Remaja MAKAF Ke-32 dan Bawah 21 Tahun Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh di sini menjadi platform mencari atlet baharu.

Beliau berkata, negara tidak boleh hanya bergantung kepada atlet senior untuk mengharungi beberapa kejohanan utama seperti Sukan Asia Nagoya, Jepun pada 2026; Kejohanan Persekutuan Karate Dunia (WKF) pada Oktober tahun depan dan Kejohanan Karate Piala Dunia.

“Sudah tiba masanya MAKAF mencari bakat-bakat baharu untuk diketengahkan mewakili negara dalam beberapa kejohanan di peringkat dunia dan Asia kerana kita tidak boleh bergantung kepada atlet senior selepas ini.

“Sehubungan itu, Kejohanan Karate Kadet Remaja MAKAF Ke-32 selama tiga hari ini akan kita jadikan platform untuk mencari atlet baharu yang berpotensi untuk diketengahkan mewakili negara.

“Lebih penting persiapan kita sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 dan kita harus pertahankan sembilan pingat emas yang merupakan pencapaian terbaik skuad karate negara setakat ini di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kejohanan Karate Kadet Remaja MAKAF Ke-32 dan Bawah 21 Tahun Kebangsaan 2024, semalam.

Tambah Nur Azmi, MAKAF akan memilih atlet terbaik berusia 18 tahun di kejohanan itu untuk diserap menyertai skuad pembangunan remaja bagi persiapan menghadapi Kejohanan WKF dan Kejohanan Karate Remaja Asia.

Jelasnya, bagi mengimbangi skuad karate negara, mulai tahun depan sebanyak 70 peratus atlet senior dan 30 peratus atlet remaja digabungkan dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.

“Kita juga akan menganjurkan Kem Bakat MAKAF setahun tiga kali yang diadakan di Asahan bulan depan yang juga bertujuan untuk mencari atlet karate remaja kebangsaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya