PETALING JAYA: Pemenang empat kali pingat emas Sukan SEA, R. Sharmendran teruja untuk memulakan cabaran baharu dalam skuad karate kebangsaan apabila dilantik menjadi jurulatih pembangunan, berkuat kuasa bulan depan.
Sharmendran terpaksa bersara setelah ditimpa kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika menjalani latihan di Mesir Jun lalu, sekali gus memadamkan impiannya untuk beraksi bersama skuad negara di Sukan Asia Hangzhou 2022.
Begitupun Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) menghargai jasa dan sumbangan Sharmendran sepanjang satu dekad bergelar atlet kebangsaan, dengan menawarkannya tugas membantu mengasah bakat atlet-atlet karate muda negara.
Atlet berusia 31 tahun itu merupakan atlet karate yang berjaya dalam kem kebangsaan selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara kumite bawah 75 kilogram (kg) untuk empat edisi Sukan SEA berturut-turut sejak Kuala Lumpur 2017 sehingga Kemboja 2023.
“Saya bersyukur diberikan tawaran ini oleh Makaf, ini bermakna mereka masih mempercayai bahawa saya mampu menyumbang kepada karate Malaysia dan saya berasa begitu bangga sekali mendapat tawaran ini.
“Saya masih mempunyai minat yang amat tinggi dalam sukan ini. Saya percaya saya masih boleh menyumbang untuk Malaysia. Mungkin sukar sebagai seorang atlet, kerana keederaan yang saya alami, tetapi saya boleh menggunakan pengetahuan saya untuk melahirkan bakat-bakat baru,
“Berdasarkan pengalaman saya, saya tahu apa yang diperlukan untuk beraksi di pentas yang tertinggi. Jadi sebagai jurulatih pembangunan, saya boleh membantu mempersiapkan atlet-atlet muda ini dengan segala ilmu yang diperlukan sebelum beralih ke peringkat lebih tinggi,” jelas Sharmendran.
Sharmendran dijangka akan memulakan tugas bersama-sama bekas juara Asia, Mohd Hatta Mahamut untuk skuad pembangunan negara.
“Hatta boleh diibaratkan sebagai abang besar kepada saya ketika saya mula menyertai skuad kebangsaan. Dia telah membimbing saya sebagai seorang atlet senior dan menjaga saya dengan baik.
“Jadi saya amat teruja untuk bekerjasama dengannya,” tambah Sharmendran. – UTUSAN