UBON RATCHATHANI: Skuad renang negara memecahkan rekod kejohanan untuk memenangi pingat emas acara 4×200 meter gaya bebas berganti-ganti lelaki di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 sebentar tadi.
Gandingan Welson Sim, Terence Ng, Low Zheng Yong dan Sebastian Soon itu berjaya menewaskan kuartert Indonesia dan Thailand pada aksi final dengan catatan masa 7:32:34s sekali gus menjadi rekod baharu kejohanan.
Rekod kejohanan sebelum ini, 7:34:21s dicipta kuartert Malaysia iaitu gandingan Keith Lim, Kevin Yeap, Yeap Zheng Yang and Foong Wei Tze pada temasya AUG 2016 yang berlangsung di OCBC Aquatic Centre di Singapura.
Hari cemerlang Malaysia bagi acara renang di Kampus Ban Yang Noi juga menyaksikan Sebastian turut berjaya meraih emas dalam acara kegemarannya 400m rampaian lelaki individu menewaskan Zheng Yong untuk perak.
Selain itu, hasrat skuad renang untuk menambah emas dalam acara 400m kuak lentang individu wanita menerusi Goh Chia Tong tidak kesampaian apabila atlet kelahiran Melaka itu sekadar meraih perak dan seorang lagi atlet negara Ong Yong Qi meraih gangsa.
Setakat ini, skuad renang negara sudah berjaya memenangi lima pingat emas dan pemburuan pingat akan diteruskan esok bagi melengkapkan sasaran lapan emas yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Menurut pengurus pasukan renang, Tan Seng Seng, masih terdapat tujuh acara final esok dan misi pemburuan emas akan diteruskan bagi melengkapkan sasaran yang ditetapkan KPT kepada sukan ini.
“Esok masih ada tujuh lagi acara final, para atlet akan melakukan yang terbaik untuk melengkap lapan sasaran emas yang ditetapkan kepada skuad renang. Kita akan lihat bagaimana esok, kita yakin mampu untuk raih pingat,” katanya -UTUSAN ONLINE