TOKYO: Caeleb Dressel menutup kempen Sukan Olimpik Tokyo dengan menokok dua lagi emas untuk mengumpul lima emas keseluruhan pada ketika Emma McKeon muncul perenang wanita pertama meraih tujuh pingat dalam satu temasya.
Dressel meraih gelaran ‘perenang terpantas dunia’ dengan mencatat masa 21.07 saat (s) ketika menjuarai saingan 50 meter (m) gaya bebas bersama rekod Olimpik, sebelum membantu kuartet 4x100m rampaian Amerika Syarikat (AS) memenangi emas dengan rekod dunia.
“Saya bangga dengan diri sendiri. Saya rasa, saya berjaya mencapai potensi sebenar dalam temasya ini dan saya sangat seronok berlumba,” kata Dressel.
Jika Dressel, 24, adalah ‘raja’ kolam renang, McKeon pula boleh dianggap ‘ratu’ selepas meraih emas 50m gaya bebas dengan kepantasan 23.81s sebelum membantu Australia memenangi perlumban 4×100 rampaian berganti-ganti dengan masa 3:51.60s yang juga rekod baharu OIimpik.
Berjaya memenangi empat emas dan tiga gangsa di Tokyo menjadikan McKeon, 27, wanita paling cemerlang dalam sejarah renang, mengatasi rekod enam pingat yang diraih atlet Jerman Timur, Kristin Otto (1952) dan Natalie Coughlin dari AS (2008).
McKeon menyamai rekod atlet wanita paling cemerlang dalam satu Sukan Olimpik (semua sukan), terikat bersama gimnas Rusia, Maria Gorokhovskaya (1952).
McKeon meraih emas 50m and 100m gaya bebas, 4x100m gaya bebas serta rampaian, selain gangsa 100m kuak kupu-kupu dan dua acara berganti-ganti.
“Macam tidak percaya, sekarang ia sudah berakhir. Semua berlalu dengan cepat dan saya amat gembira bagaimana temasya ini berjalan.
“Saya lihat apa yang dilakukan oleh atlet sebelum saya dan amat terkesan. Mereka memberi inspirasi kepada saya tetapi saya tidak pernah mengira pingat,” kata McKeon.
AS menutup acara renang Sukan Olimpik 2020 selaku juara keseluruhan dengan 30 pingat, termasuk 11 emas, manakala Australia di tempat kedua. – AGENSI