SSTMI muncul juara Melaka International Rugby 10s’

SSTMI muncul juara Melaka International Rugby 10s’

AB. RAUF Yusoh meraikan pasukan SSTMI yang muncul juara Melaka International Rugby 10s kategori lelaki terbuka anjuran Bank Muamalat di Stadium Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) muncul juara
Melaka International Rugby 10s’ selepas menewaskan Bank Muamalat Bullet 19-17 dalam perlawanan akhir bagi kategori lelaki terbuka.

Kejohanan yang berlangsung bersempena Karnival Merdeka Kehidupan Lebih Baik Bersama Bank Muamalat merupakan anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama kerajaan negeri telah diadakan di Stadium Hang Tuah di sini, hari ini.

Turut dipertandingkan adalah kategori bawah 14 tahun yang dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas (Akademi Ragbi Melaka) manakala kategori veteran dijuarai Melaka High School Old Boys.

Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian termasuk dari Singapura menyertai kejohanan yang julung-julung kali dianjurkan sempena sambutan kemerdekaan negara ke-67.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin serta Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden.

Dalam pada itu, Zury Rahimee berkata, karnival yang mengangkat tema perpaduan, kebersamaan dan patriotisme itu berlangsung selama tiga hari bermula 30 Ogos lalu dengan dihadiri lebih 5,000 pengunjung.

“Dengan pengisian aktiviti menarik, karnival ini berjaya menarik minat pencinta sukan ragbi, tajaan dan rakan kerjasama seperti Pos Malaysia dan Strike Rugby Gear serta merangsang ekonomi tempatan melalui jualan bazar dan pameran kraftangan daripada usahawan tempatan.

“Sepanjang tiga hari turut berlangsung pembukaan bazar makanan, minuman dan kraftangan tempatan, pameran dan jualan produk usahawan iTEKAD Bank Muamalat, pembukaan klinik gigi bergerak oleh rakan perniagaan, Universiti Malaya (UM) serta pameran auto yang dibuka untuk orang ramai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN