LILLE: Selepas mempamer persembahan klinikal ketika menumpaskan New Zealand dalam aksi pembukaan Ragbi Piala Dunia minggu lalu, Perancis kurang meyakinkan ketika menentang Uruguay.
Tuan rumah bagaimanapun masih mampu menang 27-12 dalam aksi mendebarkan ke atas skuad Los Teros awal pagi tadi untuk mencatat kemenangan kedua Kumpulan A.
Hampir 50,000 penonton yang membanjiri Stade Pierre Mauroy pada mulanya tidak gembira melihat aksi yang dipertontonkan Les Bleus.
Jurulatih, Fabien Galthie melakukan 12 pertukaran daripada skuad yang mengejutkan juara dunia tiga lali, New Zealand 27-13, namun rombakan itu jelas tidak menjadi.
Week one began with a Pool A thriller, and week two had the same 💯
The very best of an enthralling #FRAvURU encounter#RWC2023 pic.twitter.com/R5mkgc5TLn
— Rugby World Cup (@rugbyworldcup) September 14, 2023
Perancis berjaya melakukan tiga try, yang terakhir menerusi Louis Bielle-Biarrey, pemain termuda Les Bleus beraksi dalam Piala Dunia pada usia 20 tahun.
Antoine Hastoy dan Peato Mauvaka juga melakukan touch down untuk tuan rumah, manakala Melvyn Jaminet menyepak 12 mata.
Uruguay memperoleh dua try menerusi Nicolas Freitas dan Baltazar Amaya. Los Teros juga mendapat satu lagi try yang tidak dibenarkan, manakala Perancis mempunyai dua try yang gagal.
Selepas melepaskan try pada minit keenam, Perancis berjaya mendahului tetapi gagal memanfaatkan penguasaan scrum di awal permainan.
Tuan rumah benar-benar bergelut berikutan kad kuning Romain Taofifenua, dan hanya mendahului 13-5 pada separuh masa.
Uruguay kemudian mengutip satu mata, dan Perancis terpaksa bekerja lebih keras. Bielle-Biarrey akhirnya memastikan pasukannya selamat lapan minit sebelum tamat.
Begitupun Uruguay berjuang habis-habisan hingga minit terakhir ketika Perancis melakukan banyak kesilapan dan menamatkan saingan dengan amaran kad kuning.
Perancis menyasarkan untuk mengungguli peringkat kumpulan Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun, dan seterusnya akan menentang Namibia.
Uruguay pula bakal berdepan Itali untuk perlawanan kedua mereka. – AGENSI