Bonnie bawa pulang RM1.02 juta

Bonnie bawa pulang RM1.02 juta

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) bergambar bersama pemenang pingat di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 dalam Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin muncul penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) apabila membawa pulang RM1.02 juta selepas memenangi pingat emas dan memperbaharui rekod dunia di Sukan Paralimpik Paris, baru-baru ini.

Beraksi dalam kategori 72 kilogram (kg) lelaki, Bonnie memenangi pingat emas untuk membolehkannya membawa pulang RM1 juta dan tambahan RM20,000 hasil kejayaannya memecahkan rekod dunia selepas melakukan angkatan 232kg.

Atlet berusia 25 tahun itu menyifatkan kejayaannya merangkul pingat emas di Paralimpik Paris lebih istimewa ketika melakukan pencapaian yang sama di Paralimpik Tokyo 2020.

“Pastinya kemenangan kali ini lebih istimewa dan bermakna sebab semasa di Paris saya beraksi dalam kesakitan jadi bagi saya memang berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian SHAKAM Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

BONNIE BUNYAI GUSTIN

Selain Bonnie, atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou turut menerima RM1 juta selepas memenangi pingat emas SU5 (kecacatan fizikal) manakala Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20) dan Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh T20) masing-masing membawa pulang RM300,000 susulan pencapaian mereka meraih perak.

Seorang lagi atlet olahraga para negara, Eddy Bernard menerima RM100,000 selepas memenangi gangsa acara 100 meter (m) lelaki T44 kecacatan fizikal.

Dalam pada itu, pemain profesional negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Woo Yik masing-masing membawa pulang RM100,000 selepas memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris.

Sementara itu, Hannah berkata jumlah keseluruhan SHAKAM bagi kedua-dua temasya berkenaan berjumlah RM3.6 juta.

“Saya amat menghargai kewujudan SHAKAM ini kerana ia merupakan hasil keringat rakyat Malaysia yang telah bekerja kuat dan menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan.

“Tidak kira sama ada kita menerima sebanyak RM200,000 atau RM300,000 ia dibiayai dengan hasil pendapatan sama ada seorang guru, penjual goreng pisang mahupun pemandu teksi. Saya berharap ganjaran SHAKAM ini akan terus menjadi pembakar semangat kepada semua atlet negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya