KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun Malaysia tidak menganjurkan Grand Prix (GP) Motosikal Dunia ekoran Covid-19, pelumba wild card (jemputan) negara, Syarifuddin Azman mahu memberi ‘hadiah’ istimewa kepada peminat dengan memburu kelompok hadapan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.
Lebih dikenali sebagai Damok, pelumba berusia 21 tahun yang bernaung di bawah SIC Racing Team itu berkata, dia mahu membuktikan kehadirannya bukan sekadar melengkapkan kuota tetapi mampu memberi tentangan sengit dalam kelas Moto3.
“Perlumbaan kali ini adalah GP saya sendiri, saya mahu tunjukkan kepada peminat kemampuan saya. Sasaran peribadi sudah tentu nak naik podium.
“Tetapi untuk pasukan, mereka mahu saya berada dalam kelompok 10 atau lima terbaik, jadi, saya harap semua berjalan dengan lancar.
“Trek ini trek saya sendiri, memang makanan saya, jadi, saya tahu di mana boleh memintas pelumba lain,” katanya dalam Program Menanam Pokok bersama pelumba MotoGP, Moto2 dan Moto3 di Taman Tugu dekat sini, semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif.
Menurut Damok, bagi merealisasikan sasaran besar itu, dia perlu fokus kepada sesi latihan bebas dan kelayakan yang akan diadakan esok dan Sabtu.
“Kedudukan grid amat penting sebab kalau di belakang sukar untuk masuk kelompok hadapan, kalau kita berada di belakang memang pelumba di belakang akan cuba pintas pelumba hadapan, jadi, saya harap dapat buat terbaik pada sesi kelayakan nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai cuaca, Damok yang kini berada di kedudukan keempat keseluruhan pada Kejuaraan Motosikal Dunia Junior GP berharap panas mengiringi perlumbaan.
“Jika hujan, litar Sepang agak licin, saya perlu berhati-hati supaya tidak jatuh. Saya lebih selesa cuaca panas tetapi kalau ikutkan ramalan kaji cuaca memang hujan,” katanya.
Mengenai trek, Damok memberitahu, keadaan di Sepang ada sedikit perubahan dengan permukaan trek yang semakin berbonggol, jadi pelarasan jenteranya penting untuk mendapatkan keserasian.