KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin akan hilang ratusan ribu ringgit tanpa kehadiran penonton, namun mereka lebih memandang serius tentang keselamatan peminat jika menganjurkan Grand Prix Motosikal Malaysia 2020.
Sehingga kini, kedudukan Malaysia dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia masih tergantung dan hanya akan diketahui apabila Dorna Sports, pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP membuat pengumuman hujung bulan ini.
Sekalipun diteruskan, sama seperti perlumbaan pembukaan musim yang berlangsung di Jerez, Sepanyol minggu lalu ia mungkin diadakan tanpa kehadiran penonton.
“Walaupun SIC dikenali dengan acara besar seperti MotoGP yang mana penjualan tiket boleh mencapai angka sangat lumayan, namun hasil pendapatan utama kami datang daripada sewaan trek.
“Selepas mendapat kebenaran untuk menjalankan aktiviti trek, tempahan mula masuk dan respons amat menggalakkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Shafriman Hanif kepada Utusan Malaysia semalam.
Biarpun Malaysia belum selamat sepenuhnya daripada pandemik Covid-19, namun SIC sudah bersedia menganjurkan perlumbaan motosikal paling berprestij itu dan hanya
menunggu lampu hijau Dorna.
Kata Azhan, mereka sudah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan semua yang mempunyai urus niaga di Litar Sepang hanya perlu membiasakan diri dengan norma baharu.
“Kami juga akan membuat peningkatan SOP dari semasa ke semasa,” katanya.
Selepas sembilan venue MotoGP dibatalkan akibat Covid-19, Dorna memulakan perlumbaan musim ini pada 17 Julai lalu, melibatkan 13 aksi di Eropah.
Bagaimanapun, status GP Malaysia, Argentina dan Thailand belum diputuskan kerana bergantung kepada pelbagai faktor yang akan ditentukan Dorna.
Kata Azhan, kebenaran membawa masuk penonton ke litar bergantung kepada keadaan semasa pada waktu perlumbaan.
“Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, tiada penjualan tiket MotoGP. Situasi ini memberi impak besar kepada MotoGP seluruh dunia bukan sahaja Malaysia.
“SIC sentiasa berhubung dengan Dorna dan masih berbincang serta memantau keadaan semasa.
“Tarikh dan kehadiran penonton bergantung kepada keadaan semasa. Persetujuan antara kerajaan serta pihak berkuasa juga diperlukan untuk menentukan perlumbaan di Malaysia,” katanya.