PETALING JAYA: Penerjun negara, Leong Mun Yee berharap dapat menghadiahkan pingat kepada negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo yang terakhir akan disertainya nanti.
Beliau mewakili negara sejak Sukan Olimpik Sydney pada tahun 2000 itu memaklumkan akan beraksi buat kali terakhir dalam temasya yang akan berlangsung bermula 23 Julai, namun tidak menjelaskan sama ada benar-benar akan menamatkan kerjaya sebagai penerjun negara.
Berbekalkan pengalaman, atlet berusia 36 tahun itu yakin untuk menggenggam pingat Olimpik pertamanya apabila berjaya raih pingat perak bersama Pandalela Rinong di Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu memberitahu, kini beliau sedang menumpukan perhatian kepada latihan pusingan terakhirnya.
“Saya harap boleh menyumbang sebutir pingat untuk Malaysia di Olimpik Tokyo,” katanya kepada Bernama.
Mun Yee sebelum ini pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai temasya antarabangsa termasuklah Sukan Olimpik Athens pada 2004, Beijing pada 2008 dan London pada 2012.
Ratu terjun itu memulakan kariernya sejak berusia 10 tahun dan dianggap sebagai penerjun paling berjaya apabila membawa pelbagai pingat. Antaranya pingat perak ketika beraksi di Sukan Komanwel India 2010, gangsa di Sukan Asia Korea Selatan 2014 dan dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Setakat ini, penerjun yang sudah beraksi lebih 20 tahun itu berada sebaris dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pelayar, Kelvin Lim yang pernah menyertai empat Sukan Olimpik.