Sukan Olimpik Tokyo batal? - Utusan Malaysia

Sukan Olimpik Tokyo batal?

SAMBUTAN setahun menjelang Sukan Olimpik Tokyo tidak langsung diraikan akibat pandemik Covid-19 yang masih membimbangkan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Sambutan ‘countdown’ setahun menjelang Sukan Olimpik Tokyo semalam dibayangi kebimbangan temasya yang ditunda dari 2020 ke 2021 itu akan dibatalkan.

Tiada siapa dalam ‘mood’ untuk meraikan detik istimewa tersebut kerana pandemik Covid-19 masih tidak menunjukkan perkembangan positif.

Hari ini Tokyo sepatutnya dibanjiri ribuan atlet, pegawai dan peminat sukan seluruh dunia kerana Olimpik 2020 akan bermula dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

Disebabkan Covid-19, temasya ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021, namun status tarikh baharu juga masih tidak menentu.

“Saya tidak fikir orang teruja untuk meraikan ‘countdown’ setahun menjelang Sukan Olimpik.

“Kalau situasi begini (Covid-19) berterusan, apakah kami boleh meneruskan penganjuran? Tidak, ia tak mungkin,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Olimpik Tokyo, Yoshiro Mori.

Ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe juga tidak menolak kemungkinan temasya sukan bernilai bilion ringgit itu akan dibatalkan sekiranya wabak gagal dikawal tahun depan.

Bukan persiapan temasya sahaja terjejas, malah sejak Mac lalu atlet seluruh dunia tidak dibenarkan menjalani latihan seperti biasa dan kelonggaran hanya diberikan baru-baru ini.

Di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) angka kematian masih tinggi, malah di negara-negara Asia seperti India, Iran dan Bangladesh jumlah jangkitan cukup menakutkan.

Hasil pungutan suara yang dibuat, majoriti penduduk Jepun mahu sukan itu ditangguhkan sekali lagi atau dibatalkan.

Jawatankuasa Olimpik Jepun bagaimanapun berkata, penangguhan kali kedua tidak boleh dilakukan kerana ia memberi kesan besar daripada segi kewangan dan logistik.

Minggu lalu, Bach sedar mengenai larangan perjalanan serta keperluan kuarantin yang akan menjejaskan temasya itu tetapi menolak kemungkinan penganjuran tanpa penyokong.

“Kami mahu stadium penuh dengan penyokong,” kata Bach. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya