ROURKELA – Kurang lima jam sahaja lagi sebelum Stadium Hoki Birsa Munda di sini secara rasminya membuka gelanggang pertama untuk aksi pertama Piala Dunia Hoki 2023 bagi saingan Kumpulan D antara England dan Wales.
Ia bakal menjadi pencapaian bersejarah buat bandar Rourkela kerana stadium itu hanya mengambil masa 15 bulan untuk siap sepenuhnya awal bulan ini dengan kos keseluruhan pembinaan dianggarkan bernilai RM13.83 bilion.
Jumlah itu menjadikan ia antara stadium hoki terbesar di dunia dan kedua di India dengan 22,000 kapasiti selepas Stadium Hoki Chandigarh yang boleh memuat seramai 30,000 penonton.
Difahamkan, stadium hoki terbesar di dunia masih lagi dipegang Stadium Nasional di Lahore, Pakistan dengan 40,000 kapasiti penonton.
Walaupun Stadium Hoki Birsa Munda siap dibina sepenuhnya tetapi penganjur kejohanan masih lagi sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan persiapan akhir dalam tempoh waktu yang suntuk.
Segala persiapan akhir itu dikatakan perlu diselesaikan sebelum perlawanan kedua di stadium berkenaan antara tuan rumah, India menentang Sepanyol pada pukul 9.30 malam waktu Malaysia. – UTUSAN ONLINE