JOHOR BAHRU: Malaysia menamatkan kempen hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2022 di tangga tercorot selepas tumpas 2-3 kepada Afrika Selatan di Stadium Hoki Taman Daya, hari ini.
Ini adalah rekod terburuk buat skuad muda negara sejak kejohanan bawah 21 tahun (B-21) itu diperkenalkan pada 2011.
Pada suku pertama, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang setelah masing-masing belajar daripada pertemuan ’round robin’ sebelum ini dan dapat membaca gerakan lawan.
Pendatang baharu itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti Niel Raath pada minit ke-11.
Kelebihan dimiliki pasukan Guy Elliot itu tidak bertahan lama apabila Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Amirul Hanif Mamat, gol keempatnya dalam kejohanan itu.
Afrika Selatan kembali mendahului menerusi gol padang yang dijaringkan oleh Hans Neethling pada minit ke-25 sebelum Raath menambah derita buat pasukan Young Tigers dengan menjaringkan gol keduanya pada minit ke-36 menerusi pukulan penalti.
Skuad kendalian Muhammad Amin Rahim cuba bangkit pada perlawanan itu dengan menggandakan asakan ke arah kubu lawan.
Gol Zulhanif Sahran yang dihasilkan pada minit ke-56 sedikit terlambat untuk meniup semangat juang pasukan setelah tiada pertambahan gol dicatatkan.
Keputusan itu menyaksikan skuad hoki remaja negara berada di posisi terakhir dan gagal merekodkan sebarang kemenangan sepanjang kejohanan berlangsung.