JASIN: Pemenang pingat emas acara golf di Sukan SEA Kemboja 2023, Ng Jing Xuen mencurahkan pengalaman terbaiknya menerusi Program Junior Golf Summer Camp 2023.
Program melibatkan seramai 26 peserta berusia antara lapan hingga 16 tahun itu adalah anjuran One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group.
Pengasas One Professional Golf Academy, Mohd. Irwan A. Rahman berkata, program selama dua hari berakhir semalam bertujuan memberi pengalaman dan pendedahan kepada para peserta mengenai dunia profesional sukan golf.
Menurutnya, kerjasama yang terjalin dengan The Weststar Group berjaya merealisasikan projek perintis tersebut untuk memperkasa sukan golf di peringkat golongan muda.
“Program ini mengetengahkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air dan penampilan istimewa Jing Xuen, pemain golf pertama wanita negara yang memenangi emas individu di Sukan SEA Kemboja 2023.
“Para peserta berusia lapan hingga 16 tahun ini sangat bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada atlet yang melakar sejarah golf profesional negara, malah dinilai berdasarkan aspek teknikal, fizikal serta mental,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Junior Golf Summer Camp 2023 di Kelab Golf Jasin Heritage di sini, semalam.
Tambah Mohd. Irwan, penilaian amat penting kerana dapat membantu peserta memperbaiki kemahiran daripada segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental.
Katanya, pihaknya bercadang memperluaskan program itu kepada empat zon tahun depan di Kedah, Johor, Melaka dan Selangor. – UTUSAN