Hariz Hezri tamatkan penantian 11 tahun

Hariz Hezri tamatkan penantian 11 tahun

HARIZ Hezri dan Liu Yujie menjulang piala pusingan selepas muncul juara kategori lelaki dan wanita di Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia Edisi Ke-119 di Kelab Golf Tiara & Country, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemain golf remaja negara, Hariz Hezri, 18, menamatkan kemarau 11 tahun apabila muncul juara pada aksi akhir Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia Edisi Ke-119 berlangsung di Kelab Golf Tiara & Country di sini, hari ini.

Kemenangan bergaya buat Hariz sekali gus menamatkan penantian yang mana kali terakhir Malaysia merangkul gelaran itu menerusi pemain golf nombor satu negara, Gavin Green pada 2012.

Hariz yang juga juara Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-Sport Excel Kelapan, Jun lalu bangkit cemerlang melakukan dua bawah par 70 untuk keseluruhan mengumpul satu bawah par 287 pukulan.

Berbekalkan kelebihan satu pukulan sudah mencukupi buat graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengatasi rakan senegara, Andrew Yap Yun Cheng yang muncul naib juara.

“Alhamdulillah, sangat bersyukur kerana kemenangan yang dinanti-nantikan dan saya tidak menyangka dapat merangkul gelaran Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia serta menamatkan penantian 11 tahun pemain negara merampas kembali kejuaraan ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang banyak memberi dorongan kepada saya. Ini adalah permainan paling baik saya pamerkan,” katanya ketika ditemui.

Tambah Hariz, dia memulakan aksi final dengan satu atas par 217 pukulan berada di tempat keenam, namun tiga birdie di lubang kedua, lima, sembilan dan eagle dilubang ke-16 menobatkannya selaku juara.

Kemenangan itu membolehkan Hariz menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala pusingan disampaikan Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Naib juara menjadi milik Andrew yang baharu menjuarai Kejohanan Golf Terbuka Amatur Peugeot Selangor Ke-48 di Kelab Golf Negara Subang (KGNS) di Petaling Jaya, Selangor awal bulan ini apabila keseluruhan menyamai par 288 pukulan.

Dia menerima wang tunai RM1,500 diikuti Jun Hee Choi dari Korea berada di tempat ketiga dengan 289 pukulan menerima RM1,200.

Bagi kategori wanita, seperti diramalkan pemain remaja China, Liu Yujie berusia 13 tahun muncul juara dengan catatan 12 bawah par 276 pukulan.

Kelebihan lapan pukulan mengatasi jaguh remaja wanita negara yang juga pemenang pingat emas di Sukan Sea Kemboja 2023, Ng Jin Xuen yang muncul naib juara.

Jin Xuen melakukan satu bawah par 71 pada hari terakhir, namun tidak mampu menggugat kedudukan Yujie.

Bagaimanapun, pada hari terakhir Yujie hilang tumpuan dengan hanya mencatat 72 pukulan dengan tiga birdie dan tiga bogey.

“Hari ini saya kurang bermain baik tidak banyak peluang untuk birdie tetapi saya tetap puas hati.

“Ini kemenangan pertama saya di Malaysia dan keseluruhannya saya gembira dengan prestasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, pemain dari Thailand, Thitikarn Thapasit berada di tempat ketiga dengan keseluruhan mengumpul 286 pukulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya