Hariz Hezri cemerlang, Liu Yujie terus unggul

Hariz Hezri cemerlang, Liu Yujie terus unggul

HARIZ Hezri melakukan kejutan muncul pendahulu bersama Seung Hyun Pi dari Korea pada hari kedua Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia Edisi Ke-119 di Kelab Golf Tiara & Country, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemain negara, Hariz Hezri melakukan kejutan apabila muncul pendahulu pada hari kedua Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia Edisi Ke-119 di Kelab Golf Tiara & Country di sini, hari ini.

Hariz yang juga juara Kejohanan Golf Jemputan Junior RSGC-SportExcel Kelapan Jun lalu berkongsi kedudukan dengan pemain Korea, Seung Hyun Pi apabila masing-masing mengumpul dua bawah par 142 pukulan.

Biarpun sekadar melakar satu atas par 73 pukulan pada hari pertama, namun dia beraksi cemerlang hari ini dengan catatan tiga bawah par 69 pukulan untuk keseluruhan mengumpul dua bawah par 142 pukulan.

Mengekori rapat kedua-dua pemain itu ialah Jun Hee Choi dari Korea dengan catatan satu bawah par 143 pukulan, ketinggalan hanya satu pukulan di belakang pendahulu.

Seorang lagi pemain negara, Zia Iqmal Abdul Rashid turut memberi cabaran apabila berada di tempat keempat dengan catatan 144 pukulan, ketinggalan dua pukulan di belakang Hariz dan Hyun Pi.

Bagaimanapun, pendahulu hari pertama, Leo White dari Thailand pula terjerumus di tempat ke-12 apabila mengumpul 147 pukulan begitu juga pemain kelahiran Melaka, Wan Hasnul Daniel Wan Omar turut longlai berada di tempat ke-10 dengan 146 pukulan.

Seramai 41 pemain berjaya melepasi cut daripada 71 pemain amatur untuk mengharungi saingan getir berbaki dua hari hingga Ahad ini.

Dalam kategori wanita, pemain remaja dari China, Liu Yujie terus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu apabila keseluruhan melakar catatan enam bawah par 138 pukulan.

Yujie pemain berusia 13 tahun nyata terlalu sukar digugat dengan kelebihan enam pukulan mengatasi Thitikarn Thapasit dari Thailand yang berada di tempat kedua dengan catatan 144 pukulan.

Begitupun, pemain wanita negara, Ng Jing Xuen menceriakan kem negara apabila berada di tempat ketiga walaupun mencatat satu atas par 145 pukulan.

Jing Xuen pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 beraksi cemerlang pada hari pertama apabila mencatat dua bawah par 70, begitupun aksi serba tidak mengena apabila dia mencatat 75 pukulan pada saingan hari ini.

Dalam acara berpasukan pula, Korea Selatan menerusi gandingan Seung Hyun Pi dan Seojin Park muncul pendahulu keseluruhan mengumpul 289 pukulan.

Dua gandingan Malaysia melalui Nateeshvar Anatha Ganesh dan Jing Xuen pula selesa berada di tempat kedua dengan 294 pukulan manakala Mohd. Adif Haikal Md. Hazan di tempat ketiga dengan 299 pukulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya