KUALA LUMPUR: Pemain golf amatur berpeluang memenangi dan merebut gelaran juara pada Kejohanan Juara Antara Juara One Cochrane 2020 yang akan berlangsung pada 15 September ini di Kelab Golf The Mines di sini.
Dalam kejohanan yang memasuki edisi ke-30 kali ini, kejohanan kali ini yang mendapat kerjasama Bousted Properties Berhad sebagai penaja utama menerima sambutan menggalakkan daripada pemain dari beberapa daerah dan negeri.
Malah kejohanan ini dijangka lebih hangat lagi apabila bekas-bekas juara dan pemain yang berjaya mencipta pukulan selubang (Hole In One) dalam beberapa siri kejohanan yang lalu turut mendartarkan diri untuk merebut gelaran juara.
Pengurus Besar Golf Malaysia, Andrew Ng berkata, mereka yang menyertai kejohanan itu berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditawarkan bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
“Hadiah itu antaranya untuk pingat individu seperti Medal A (0-12), Medal B (13-24) dan pemenang medal wanita. Selain itu, peserta juga bakal menerima habuan bagi kategori Hole In One.
“Walaupun pertandingan ini diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ia akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Saya percaya kejohanan ini akan berjalan lancar dan pemain tidak perlu bimbang, fokus untuk meraih kejuraan kerana keselamatan tetap menjadi keutamaan penganjur,” ujarnya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Andrew, dia berterima kasih kepada Bousted Properties Berhad dan penaja-penaja lain seperti Bridgestone yang memberi kerjasama baik dalam menjayakan kejohanan ini pada September ini.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada Residensi One Cochrane di atas berkat sokongan, komitmen dan menerima peserta pada September ini.
“Ia sudah pasti menjadi satu peluang keemasan bagi kedua-dua pihak untuk saling berkenalan dalam suasana yang santai,” katanya.
Peserta yang ingin menyertai kejohanan ini boleh melayari e-mel ke [email protected] atau hubungi talian 03-5638 6885. Yuran penyertaan RM430 untuk seorang. – UTUSAN