PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) enggan mengambil sikap sambil lewa menjelang aksi terakhir Liga Super musim ini menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Perkara itu ditegaskan pengendalinya, Katsuhito Kinoshi yang menyeru anak buahnya menampilkan aksi terbaik biarpun kedudukan selaku naib juara liga tidak terjejas dengan apa sahaja keputusan pada aksi itu.
Kinoshi juga mahu pemainnya bersikap profesional dan memburu tiga mata penuh sebagai hadiah terbaik kepada penyokong setia Merah Kuning.
“Betul, kami sudah mengesahkan tempat di posisi kedua, tapi kita kena profesional. Kita kena profesional selaku pemain, jurulatih dan sebagai satu pasukan.
“Apa definisi profesional, setiap individu ada pandangan masing-masing. Tapi bagi saya, kita kena tunjukkan sikap profesional dengan beri prestasi semaksimum untuk pastikan penyokong gembira.
“Kita juga perlu hargai setiap orang yang ada dalam pasukan ini termasuk untuk pengurusan kelab dan juga kepada wartawan. Jadi untuk itu, kita perlu berjuang 100 peratus,” kata jurulatih dari Jepun itu.
Selangor FC sudah mengesahkan kedudukan sebagai naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengesahkan status selaku juara buat kali ke-11 berturut-turut.
Mengulas mengenai aksi dengan PDRM FC itu, Kinoshi menyedari ia bukan perlawanan yang mudah dan menuntut agar setiap pemain memberi fokus sepenuhnya dan mengekalkan gaya permainan berpasukan.
“Disebabkan ini perlawanan terakhir liga, mereka juga mahukan kemenangan dan kita pun mahukan kemenangan dan situasi ini normal.
“Jadi kita perlu beri tentangan secara serius dan fokus dengan gaya permainan pasukan. Ia aksi yang tidak mudah tapi ia satu perlawanan yang menarik,” jelasnya.-UTUSAN