PETALING JAYA: Lagenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menegaskan pembangunan akar umbi akan menjadi agenda utama beliau selepas terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029.
Bekas penyerang kebangsaan itu turut diberi kepercayaan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM sekaligus berperanan membawa perubahan dalam sistem pembangunan bola sepak tempatan.
Menurut Zainal, antara aspek yang perlu diberi perhatian adalah memperkasakan semula liga bola sepak peringkat negeri yang pernah menjadi tunjang utama pencarian bakat pemain muda suatu ketika dahulu.
“Liga negeri ini penting kerana ia menjadi platform untuk pemain muda mengembangkan bakat mereka selepas tamat persekolahan.
“Saya sendiri melalui laluan ini bermula dengan kelab Sultan Sulaiman, kemudian ke pasukan Selangor sebelum mewakili skuad kebangsaan.
“Kita tidak boleh mengabaikan struktur pembangunan yang sudah terbukti berkesan. Pemain muda memerlukan pentas yang sesuai untuk menunjukkan keupayaan mereka sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Zainal juga menolak anggapan bahawa liga negeri sudah tidak relevan dengan perkembangan bola sepak moden.
Beliau menegaskan bahawa landasan pembangunan bakat harus dikekalkan dan diperkasakan supaya lebih ramai pemain berpotensi dapat diketengahkan.
Dalam pada itu, Zainal mengesahkan bahawa Jawatankuasa Pertandingan FAM akan mengadakan mesyuarat pada awal Mac bagi membincangkan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam setiap pertandingan yang dianjurkan badan induk bola sepak negara itu.
“Kami akan meneliti pelbagai aspek dalam pertandingan anjuran FAM bagi memastikan sistem pertandingan di Malaysia lebih berdaya saing dan memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak negara,” tambahnya.
Dengan pengalaman luas yang dimiliki, peminat bola sepak tempatan pastinya menaruh harapan tinggi kepada Zainal untuk membawa perubahan positif dalam landskap bola sepak negara-UTUSAN