JOHOR BAHRU: Selepas perjuangan di Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) berakhir, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalih tumpuan ke liga domestik apabila berentap Penang FC dalam aksi Liga Super, malam ini.
Pastinya, skuad kendalian Hector Bidoglio itu enggan dimalukan lagi setelah ‘luka’ kekalahan kepada Buriram United masih belum hilang bisanya.
Biarpun sudah bergelar juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, Bidoglio dijangka akan menurunkan kesebelasan yang terbaik bagi memastikan sisa perlawanan Liga Super berakhir dengan kemenangan.
“Kita akan menurunkan kesebelasan terbaik dan pemain dituntut untuk memberikan aksi terbaik mereka dengan menganggap semua baki perlawanan ini seperti aksi final.
“Setiap kali beraksi di gelanggang lawan, pasukan tuan akan memberi saingan sengit untuk menyekat peluang JDT mengutip mata. Jadi, pemain perlu komited dan berdisiplin mencari jalan untuk meraih kemenangan.
“Dalam perlawanan kompetitif seperti ini, kita perlu mengemaskan lagi `set-piece’ yang masih belum sempurna dan memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan, menjadi lebih tajam di gawang lawan,” katanya.
JDT perlu berdepan dengan empat pasukan iaitu skuad Harimau Kumbang, malam ini diikuti Kedah Darul Aman FC (29 Mac), Kelantan Darul Naim FC (4 April) dan Kuching City FC (13 April).
JDT berada di landasan tepat untuk mencatatkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super buat kali kelima, setelah menjuarai Liga Super tanpa kekalahan pada 2016, 2022, 2023 dan 2024.
Rekod cemerlang Harimau Selatan dalam saingan liga terukir pada musim 2023, apabila mencatatkan 25 kemenangan dan satu keputusan seri, menjaringkan 100 gol dan hanya dibolosi tujuh gol.
Pengendali kelahiran Argentina itu pasti tidak mahu rekod tanpa kalah musim ini tercalar dalam aksi menentang skuad kendalian Wan Rohaimi Ismail.
Beliau dijangka menurunkan Bergson da Silva yang sudah mencetak 23 gol dalam saingan liga bagi mengemudi jentera serangan dibantu Heberty Fernandes dan Arif Aiman Hanapi di bahagian sayap.
Juan Muniz juga dijangka akan dimasukkan ke dalam kesebelasan utama berbanding dengan Afiq Fazail manakala Eddy Israfilov menjadi tunjang benteng pertahanan JDT.-UTUSAN