PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani menegaskan skuad Harimau Malaya perlu mengaturkan sekurang-kurangnya satu perlawanan pemanas badan sebelum turun beraksi menentang Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada pertengahan bulan ini.
Menurut bekas penyerang kebangsaan itu, perlawanan persahabatan amat penting bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dari Australia, Peter Cklamovski, sekali gus menguji tahap keserasian dalam pasukan.
“Kalau boleh, Harimau Malaya perlu segera mencari lawan untuk aksi pemanas badan, sekurang-kurangnya satu atau dua perlawanan.
“Ini kerana taktikal Cklamovski masih baharu dan pemain memerlukan masa untuk memahami corak permainan yang ingin diterapkan.
“Lihat sahaja Nepal, mereka sudah mengatur perlawanan persahabatan menentang Singapura bagi memantapkan pasukan sebelum bertemu Malaysia di Johor nanti.
“Jika kita tiada perlawanan sebegini, ia boleh memberi kesan terhadap prestasi skuad kebangsaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Setakat ini, tiada sebarang perlawanan persahabatan rasmi diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), walaupun hanya tinggal kurang dari sebulan sebelum perlawanan menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, di Johor.
Mengulas lanjut, Hassan berpendapat pemilihan lawan dari rantau ASEAN seperti Thailand atau Indonesia wajar dipertimbangkan bagi memastikan Harimau Malaya mendapat ujian yang setara sebelum aksi kelayakan sebenar.
“Bermain untuk pasukan kebangsaan dan bermain di peringkat kelab adalah dua perkara berbeza. Di peringkat antarabangsa, tekanan lebih tinggi dan pemain harus cepat menyesuaikan diri.
“Cklamovski mungkin sudah mengenal pasti pemain daripada Liga Malaysia, tetapi tanpa aksi pemanas badan, beliau tidak dapat melihat secara jelas bagaimana mereka beraksi dalam sistemnya,” tambahnya.
Harimau Malaya dijadualkan berdepan Nepal pada 25 Mac ini dam anak-anak buah Cklamovski wajib menang bagi membuka tirai kelayakan Piala Asia 2027 dengan positif.-UTUSAN