Selangor FC sedia buru lebih banyak kejayaan

Selangor FC sedia buru lebih banyak kejayaan

Pemain-pemain Selangor meraikan kemenangan pada perlawanan akhir kedua Piala Cabaran 2025 menentang PDRM, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Gambar: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menyifatkan kejayaan menjulang Piala Cabaran adalah permulaan baharu buat Gergasi Merah dalam memburu lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Kinoshi berbangga dengan pencapaian diraih anak buahnya selepas memenuhi sasaran untuk menjuarai Piala Cabaran apabila menewaskan PDRM FC 4-0 dalam aksi final kedua, sekali gus menang menerusi agregat besar 7-0.

“Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada sejarah Selangor FC tetapi bagi kami, ini hanyalah batu loncatan untuk masa depan.

“Hari ini (kelmarin) kami boleh meraikan kemenangan ini tetapi bermula lusa, kami harus bersedia untuk sasaran seterusnya. Kami perlu meneruskan latihan berkualiti dan memastikan persiapan rapi untuk perlawanan yang akan datang,” katanya.

Sebelum sepak mula aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan dengan memberi kemenangan 3-0 kepada Selangor susulan kesalahan PDRM FC yang menurunkan pemain digantung pada final pertama minggu lalu.

Meskipun memiliki kelebihan selesa namun Selangor FC tetap bermain secara agresif dan hasilnya mereka meraih empat gol menerusi Ali Olwan, Ronnie Fernandez serta dua lagi hasil sentuhan Yohandry Orozco.

Kejayaan menjulang trofi itu turut menamatkan badi kejuaraan Liga Malaysia (Liga M) buat Selangor selepas kali terakhir memenangi saingan domestik 10 tahun lalu dengan menjulang Piala Malaysia pada 2015 lalu.

Kejayaan itu pastinya membakar semangat skuad kendalian Kinoshi bagi mengharungi baki aksi Liga Super dengan pemburuan tempat kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sasaran utama, untuk menjamin slot di Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) musim depan.

“Saya percaya dengan kemampuan pemain-pemain kami. Kami akan memberikan 100 peratus usaha dalam setiap perlawanan yang akan datang dan memastikan kami memperoleh keputusan terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya