KOTA BHARU: Kurang sebulan menuju Ramadan, hidup barisan pemain dan kejurulatihan pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC semakin terhimpit apa sudah lima bulan tidak menerima gaji.
Menurut sumber, tunggakan itu bermula dari September 2024 sehingga Januari tahun ini, sekali gus menyumbang kepada kemerosotan prestasi pasukan yang kini berada di tangga tercorot Liga Super.
Katanya, situasi tersebut menyebabkan ada dalam kalangan pemain terpaksa mengeluarkan semua wang simpanan selain terpaksa menebalkan muka meminjam wang untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Selain itu pihak pengurusan turut berhutang sebanyak RM1,000 setiap seorang pemain pada bulan Ogos lalu selepas mereka (pengurusan) memberitahu mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji.
“Jadi untuk menyambut Ramadan, saya tidak tahu bagaimana untuk membuat persiapan. Cuma pengurusan ada berjanji mahu menulaskan tunggakan selama sebulan masing-masing pada 15 Februari dan hujung bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber memberitahu, baki tunggakan selama tiga bulan lagi akan dilunaskan sebelum April, namun para pemain bimbang jika janji berkenaan tidak ditunaikan.
Dalam masa yangs sama, dia berharap janji tersebut bukanlah ‘janji manis’ sebaliknya mahu pengurusan membayar tunggakan tersebut.
“Sudahlah gaji tidak bayar, menipu potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Saya betul-betul kecewa dengan tindakan pengurusan.
“Lebih mengejutkan lagi mereka mengemukakan tawaran baharu iaitu mahu membayar gaji secara elaun mengikut perlawanan. Tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati kontrak, malah melanggarnya,” ujarnya.
Ekoran situasi itu katanya, para pemain juga sudah dua bulan tidak menjalani latihan dan hanya turun untuk beraksi semasa perlawanan sahaja.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, satu demi satu masalah melanda Kelantan Darul naim (KDN) FC musim ini apabila pasukan dari Pantai Timur itu kini dikatakan hanya beraksi bagi melengkapkan baki saingan Liga Super.
Lebih mengejutkan, dalam perlawanan itu juga, KDN FC dibimbing oleh pengendali sementara iaitu Kamarudin Muhammad selepas penolong jurulatih, Rezal Zambery Yahya tidak bersama pasukan tanpa diketahui sebab sebenar.-UTUSAN