KOTA BHARU: Gaji tertunggak selama lima bulan serta tiada potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Itu nasib yang menimba pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang kini terhimpit dan gusar menunggu ketibaan Ramadan tidak lama lagi.
Masalah yang dihadapi itu juga menjadi punca utama pasukan dari Pantai Timur itu menjadi pasukan belasahan dalam saingan Liga Super dan berada di kedudukan tercorot.
Dalam dua perlawanan terakhir Liga Super, mereka dibelasah 7-0 oleh Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung sebelum diaibkan 6-1 oleh Penang FC di laman sendiri.
Keadaan pasukan yang sudah dua bulan tidak menjalani latihan juga menjadi punca kekalahan besar tersebut dengan pemain hanya dikumpulkan dua hari sebelum perlawanan.
Lebih memeranjatkan, pengendali sementara KDN FC, Kamarudin Muhammad sebelum ini turut mendedahkan pasukannya berkenaan hanya sekadar beraksi untuk melengkapkan jadual Liga Super.
Selain KDN FC beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M) musim ini turut terpalit dengan isu tunggakan gaji dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC difahamkan mencecah sehingga 10 bulan.-UTUSAN