SEREMBAN: Negeri Sembilan (NSFC) akan melaksanakan penstrukturan gaji melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan bermula musim hadapan dengan kadarnya adalah menerusi garis panduan atau kriteria yang akan ditetapkan.
Pengerusi NSFC, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri menjelaskan, penstrukturan dan kadar gaji itu perlu dilaksanakan mengambil kira kemampuan dan bajet yang disediakan.
“Isu gaji ini adalah isu tahunan, kami berfikiran bahawa semampunya dengan bajet yang diberikan, gaji ini tidak boleh terlalu tinggi, sebab itu ia menjadi satu masalah. Kami sedang melakukan penambahbaikan bagi musim akan datang,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Kongres Tahunan PBNS Kali ke-90 di sini hari ini.
Katanya, penstrukturan gaji itu selari dengan fasa peralihan bagi membina semula struktur kelab yang turut melibatkan pengenalan falsafah bola sepak, pelan perniagaan baharu, pembaharuan infrastruktur, pemerkasaan pembangunan belia serta pengukuhan hubungan antara pemegang taruh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata, menerusi penstrukturan itu, kadar bayaran gaji pemain import, pemain kebangsaan pada musim depan juga dinilai dan dibincangkan.
“Apa yang dilaksanakan pada musim ini adalah kami melakukan pengurangan gaji hampir 47 peratus berikutan bebanan kewangan. Apabila kami dapat stabilkan kelab daripada segi gaji, terdapat kriteria ditetapkan pada jumlah gaji tertentu pemain musim depan.
“Contohnya, pemain import dan pemain kebangsaan ada tangga gajinya, tidak boleh menetapkan sebarang angka, kami mahu perbaiki prestasi pasukan tanpa memberikan kesan kepada struktur gaji.,” katanya yang turut memberitahu kadar baharu itu bergantung kepada kontrak dan prestasi pemain selain mengambil pandangan pengarah teknikal pasukan.-UTUSAN.