SEREMBAN: Hasrat pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mencatatkan satu lagi kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas dengan keputusan 1-2 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini petang tadi.
NSFC yang mencapai kemenangan sulung, 2-1, di gelanggang sendiri ke atas Sri Pahang pada 10 Januari turun berbekalkan semangat tinggi untuk mencapai kemenangan kedua.
Namun Sabah yang membuka jaringan seawal minit ke-5 melalui Saddil Ramdani apabila percubaannya gagal dihalang barisan pertahanan tuan rumah.
Pasukan pelawat hampir menambah bilangan gol pada minit ke-11 melalui sepakan kencang Stuart Wilkin yang bagaimanapun berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol NSFC, Muhamad Aqil Abdul Razak.
Separuh masa kedua, Sabah FC menggiatkan asakan ke kubu tuan rumah dan hasilnya mereka memperoleh gol kedua pada minit ke-71 hasil jaringan pemain gantian, Joao Pedro Boeira Duarte.
NSFC tidak berputus asa namun hanya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-82 hasil jaringan Hein Htet Aung.
Selepas mengharungi 7 perlawanan, Sabah kini mengutip sebanyak 32 mata manakala NSFC hanya memperoleh sembilan mata.-UTUSAN.