MELAKA: Sebanyak 24 pasukan terbaik akan berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Gabenor Edisi Ketiga 2024 dan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan Edisi Kedua 2024.
Pengerusi pertandingan, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, ia membabitkan 12 pasukan bola sepak diketuai juara tahun lalu, Tampoi FC dan 12 pasukan bola jaring yang akan berlangsung di empat lokasi berbeza.
Menurutnya, Piala Gabenor bermula semalam hingga 12 Januari 2025 manakala liga bola jaring pula bermula Disember ini.
“Bagi bola sepak juara akan menerima hadiah wang tunai RM12,000 dan naib juara pula membawa pulang RM7,000 manakala dua pasukan tewas di separuh akhir pula masing-masing menerima RM5,000.
“Manakala kejohanan bola jaring pula menawarkan hadiah RM3,500 untuk juara dan piala pusingan,” katanya pada majlis pelancaran di Taman Seribu Bunga, Ayer Keroh di sini, kelmarin.
Pelancaran kejohanan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersama Toh Puan Asmah Abd. Rahman dan turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin.
Tampoi FC mengetuai Kumpulan A bersama SAMB II FC, SSN FC, Morten FC, PSP FC dan Alai Empire FC manakala Kumpulan B terdiri daripada Budiman Cergas FC, Taming Sari FC, Bara FC, Jebat FC, Perma FC dan MBMB Warriors FC.
Untuk bola jaring pula, saingan membabitkan Istana Melaka Team, SUK Melaka NC, SSN Resilience, ISDA NC, PDRM, Starlight NC, SU Fighter NC, Dragonites NC, UiTM Melaka, Spitfire Netballers dan Melaka Mysti. – UTUSAN