SPRM sekat Melaka mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja

SPRM sekat Melaka mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja

PEMAIN Melaka, Najmi Rosli cuba mengejar pemain lawan dalam aksi separuh akhir PERR Edisi Ke-102 di Stadium Hang Tuah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hajat Melaka untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) Edisi Ke-102 tidak kesampaian apabila tumpas 3-2 kepada SPRM AceiO menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir di Stadium Hang Tuah di sini, semalam.

Perlawanan di gelanggang sendiri ternyata tidak mampu menyuntik semangat para pemain Melaka menamatkan saingan 120 minit untuk terikat dengan keputusan 1-1.

Melaka selaku tuan rumah belum pernah menjuarai PERR sejak mula dipertandingkan pada 1922 dan sekadar muncul naib juara pada 2011 apabila tewas kepada Pahang 3-1.

Buat SPRM AceiO, ini adalah kali pertama dalam tempoh tiga musim menyertai PERR mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir Ahad ini, berdepan Bomba FC yang menewaskan Kuala Lumpur 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti di Padang Sekolah Henry Gurney (SHG), Telok Mas.

Melaka bermula cemerlang memulakan aksi apabila mengejutkan lawan dengan membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Muhammad Azmil Azran A. Rahman yang menewaskan penjaga gol, Midhal Aufa Mohd. Faizal.

Tersentak dengan gol awal itu, anak didik Mohd. Khalid Shahdan menggandakan asakan bertali arus untuk menyamakan kedudukan.

Peluang hadir pada minit ke-14 apabila Muhammad Adib Abdul Nahar menyamakan kedudukan 1-1 selepas mendapat hantaran daripada sepakan sudut.

Kedua-dua pasukan menggandakan asakan bertubi-tubi, namun ketumpulan jentera serangan menggagalkan usaha mencari jaringan sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sementara itu, Mohd. Khalid berkata, dia tidak menyangka SPRM AceiO mampu mara ke perlawanan akhir menewaskan tuan rumah.

Katanya, ia adalah kali pertama pasukan bimbingannya mara ke perlawanan akhir selepas dua musim lalu, tidak pernah menang sebarang perlawanan serta tersingkir awal di peringkat kumpulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya