SPRM bukti bukan pasukan belasahan

SPRM bukti bukan pasukan belasahan

YANG Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menyerahkan PERR Edisi Ke-102 kepada Ketua Pasukan ACeIO SPRM, Reza Amirul Izwan Roafandi di Stadium Hang Jebat, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Daripada pasukan belasahan kini ACeIO SPRM mampu mendabik dada selepas dinobatkan selaku juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) Edisi Ke-102 buat pertama kali selepas menewaskan Bomba FC 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Hang Jebat di sini, kelmarin.

Ketua Jurulatihnya, Mohd. Khalid Shahdan berkata, tahun pertama penyertaan ACeIO SPRM pada 2023 selaku pasukan jemputan, mereka tidak memenangi sebarang perlawanan di peringkat kumpulan.

Menurutnya, pada tahun kedua situasi sama membelenggu pasukan bimbingannya dan turut menjadi belasahan tanpa mengukir sebarang kemenangan.

“Namun persiapan tahun ini cukup rapi dengan persediaan awal dilakukan termasuk mencari pemain-pemain skuad Piala Presiden dan pemain liga dari seluruh negara.

“Alhamdulillah berkat persiapan awal dan berjaya mendapatkan pemain muda yang berwibawa kita bermain baik di edisi ke-102 hingga layak ke perlawanan akhir.

“Siapa sangka kami bergelar juara dan kemenangan ini bukan untuk saya tetapi kepada semua pemain yang bermain bermati-matian bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk menang 2-1,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi perlawanan akhir, ACeIO SPRM bangkit dari ketinggalan 0-1 menerusi dua gol penyerangnya, Ahmad Basher Anas Samsuri pada minit ke-63 dan sepakan penalti minit ke-81 untuk menewaskan Bomba FC 2-1.

Tambah Mohd. Khalid, secara peribadi beliau kecewa dengan aksi di babak pertama apabila barisan pemainnya memilih bermain secara bertahan, menyebabkan mereka ketinggalan 0-1.

“Namun sewaktu rehat saya arahkan mereka untuk menyerang dan hasilnya kita menang untuk mendakap kejuaraan pertama,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Bomba FC, Maezrul Mohd. Mohayudin berkata, bukan rezeki pasukannya untuk bergelar juara walaupun membuka jaringan awal menerusi penyerangnya, Muhammad Aidil Syazran Sukarmo pada minit ke-34.

“Saya bangga dengan kesebelasan utama yang berjuang habis-habisan tetapi terpaksa akur dengan kehebatan SPRM yang menang dengan keputusan 2-1,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya