PETALING JAYA: Dua gol menerusi dua sepakan penalti pada lewat permainan memberikan Kedah Darul Aman (KDA) FC tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang PDRM FC sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, KDA FC yang dibimbing Nafuzi Zain menang 2-0 hasil sepakan penalti Ifedayo Olusegun pada minit ke-81 dan Lee Tuck pada minit ke-89.
Terdahulu, pada separuh masa pertama, permainan kedua-dua pasukan agak seimbang dan tidak banyak percubaan bahaya ke arah pintu gol untuk keputusan 0-0 kekal dibawa ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, PDRM FC dan KDA FC melakukan beberapa pertukaran bagi menggandakan usaha untuk memburu gol dalam perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, skrip separuh masa pertama berulang apabila gol yang dicari-cari gagal diterjemahkan oleh kedua-dua pasukan akibat penyudah tumpul dan gerakan tersekat di bahagian tengah.
Pada babak-babak akhir KDA FC dilihat lebih mendominasi permainan manakala PDRM FC banyak bertahan untuk menggagalkan deretan gerakan ke dalam kotak penalti skuad The Cops.
Sikap tidak berputus ada KDA FC akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas hantaran kapten, Manuel Ott terkena tangan James Okwuasa pada minit ke-81.
Ifedayo yang juga pemenang Kasut Emas Liga Super 2020 dan 2021 yang kini bersama KDA FC tenang untuk menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus membuka akaun jaringan bersama pasukan baharunya.
Selang lapan minit kemudian, KDA FC sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Lee Tuck dijatuhkan oleh Fadi Awad di dalam kotak penalti.
Tuck yang juga pemain naturalisasi negara itu tenang untuk menewaskan penjaga gol PDRM FC, Aqil Razak buat kali kedua untuk meletakkan KDA FC selesa 2-0 dihadapan.
Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk menghadihakan kemenangan kesepuluh buat KDA FC dan mereka kini berada dikedudukan keempat Liga Super dengan 31 mata.
Selepas ini , KDA FC akan melayan kunjungan Kelantan United pada Jumaat ini manakala, PDRM FC akan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk berdepan Terengganu FC.- UTUSAN ONLINE.