PHNOM PENH: Biarpun kalah 0-3 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan kelmarin, namun bola sepak wanita negara membuktikan mereka bukan lagi pasukan belasahan pada Sukan SEA dan sedia memberi tentangan kepada satu lagi lawan ampuh, Filipina esok.
Pengurus pasukan, Datuk Suraya Yaacob mengakui, terdapat peningkatan ketara ditunjukkan Malayan Tigress ketika menentang Vietnam, yang tampil dengan status sebagai juara bertahan dan sudahpun mengesahkan tiket ke Piala Dunia Wanita 2023.
Vietnam juga menghuni ranking ke-33 dunia, berbanding Malaysia yang berada di tangga ke-88, malah mereka juga memegang status sebagai pemenang tujuh pingat emas di Sukan SEA.
“Selepas 35 hari menjalani latihan, kita akhirnya mengharungi perlawanan pertama dan saya lihat apa yang dipamerkan pasukan agak memberangsangkan. Di atas padang, saya akui ini bukanlah perlawanan di mana mereka boleh tunjukkan prestasi sebenar.
“Situasi ini disebabkan kita menentang pasukan lebih baik, namun saya percaya Vietnam pun terkejut dengan prestasi negara kerana mereka langsung tidak boleh menambah jaringan pada separuh masa kedua,” jelas Suraya.
Dalam aksi di Stadium Army itu, Vietnam meledak tiga gol awal menerusi Hai Yen Pham, Thi Bich Thuy Nguyen dan Nhu Huynh.
Mengulas lanjut, Suraya mengakui aksi kedua Kumpulan A menentang Filipina esok lebih sukar memandangkan lawan membawa ramai pemain berdarah warisan yang memiliki fizikal lebih sasa.
“Saya anggap kita tewas kepada Vietnam dengan keputusan bermaruah dan harapan yang sama diletakkan ketika bertemu Filipina nanti.
“Meskipun di atas kertas, mereka lebih hebat kerana membawa ramai pemain naturalisasi berdarah kacukan pada temasya kali ini,” katanya.