PHNOM PENH: Kejayaan Myanmar mengejutkan Filipina 1-0 dalam aksi pembukaan memberi inspirasi kepada Malaysia untuk melakar kejutan sama apabila berdepan pasukan pilihan itu pada aksi kedua bola sepak wanita Sukan SEA 2023 di Stadium Army malam ini.
Selepas tumbang 0-3 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan Rabu lalu, Malayan Tigress berharap mereka mampu menghasilkan gol dan menambah derita Filipina, pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Wanita 2023.
Ketua Jurulatih Malaysia, Soleen Al-Zoubi bagaimanapun mengakui, Filipina tetap pilihan untuk memenangi perlawanan kerana memiliki ramai pemain berkualiti.
“Filipina pasukan yang kuat dan membawa ramai pemain yang berpangkalan di luar negara untuk mengharungi Sukan SEA kali ini. Apa yang penting, pemain kita kena segera melupakan kekalahan lalu.
“Meskipun saya tidak suka kekalahan, apa yang pemain pamerkan (bertemu Vietnam) wajar dipuji dan saya harap mereka dapat kurangkan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan,” katanya.
Pengendali dari Jordan itu juga berharap bermain pada waktu malam dapat memberikan keputusan yang lebih positif buat anak-anak buahnya malam ini.
“Sebelum ini kami beraksi petang dan pada perlawanan kedua kita akan bermain malam. Saya tidak mahu jadikan itu sebagai alasan tetapi mungkin kita dapat tampil lebih bertenaga diwaktu malam,” katanya.