LONDON: Lima pembida bakal bersaing untuk membeli Manchester United, dengan salah seorangnya pelabur dari Qatar seperti yang dilaporkan awal minggu ini.
Mereka mungkin menghadapi tentangan daripada empat pesaing, menjelang ‘tarikh akhir’, Jumaat depan untuk membentangkan tawaran, walaupun beberapa bidaan telah dibuat.
Jumlah pembida dijangka berkurangan kerana mungkin ada yang bergabung membentuk konsortium, seperti dalam penjualan Chelsea.
Selain Qatar, United turut menerima minat dari Amerika Syarikat (AS) dan orang terkaya Britain yang juga peminat United seumur hidup, Sir Jim Ratcliffe.
Peringkat pertama proses akan berakhir tidak lama lagi dan mereka yang menandatangani perjanjian kerahsiaan diberi akses kepada ‘bilik data’ iaitu segala perincian kewangan kelab.
Beberapa pihak dari Arab Saudi juga diberi akses, namun sama ada mereka akan membuat tawaran rasmi atau tidak, masih tidak jelas.
Keluarga Glazer, pemilik United sekarang dilaporkan mahu 6 bilion pound (RM31 bilion) untuk menjual kelab itu, walaupun tidak mengumumkan harga spesifik, namun mereka terbuka kepada dua bentuk pelaburan berasingan.
Yang pertama dalam bentuk suntikan tunai dan kedua perkongsian komersial, di mana kepakaran dalam bidang seperti media serta runcit juga akan disediakan.
Mereka (Glazer dan pembida) bagaimanapun perlu bersedia dengan tindak balas negatif penyokong United jika ada perkara selain pengambilalihan yang telah dipersetujui berlaku. – AGENSI