LONDON: Kecederaan tonggak dijangka mendorong pengendali Arsenal, Mikel Arteta dan rakannya di Tottenham, Antonio Conte merubah taktikal apabila dua gergasi London itu berentap dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Selepas lebih dua minggu berehat akibat kemangkatan Ratu Elizabeth II dan pertandingan antarabangsa, Gunners kembali ke Emirates bersama masalah kecergasan bek kiri, Oleksandr Zinchenko, Kieran Tierney, Thomas Partey serta Takehiro Tomiyasu.
Pada tiga sesi latihan terakhir, Arteta bekerja tanpa empat tonggak tersebut serta beberapa pemain yang baru pulang daripada tugasan bersama negara masing-masih.

Situasi tersebut memeningkan pengendali dari Sepanyol itu pada ketika Gunners memerlukan kemenangan untuk kekal mendahului Liga Perdana, dan kekalahan di laman sendiri akan menyaksikan Tottenham merampas takhta liga.
Keputusan seri pula akan membuka ruang kepada Manchester City merampas takhta liga jika menumpaskan musuh sebandar, Manchester United dalam aksi paling mencuri tumpuan esok.
Begitupun, isu kecederaan turut membayangi Tottenham yang mengharapkan pemain sayap mereka, Dejan Kulusevski kembali cergas untuk dibawa ke Arsenal, manakala bintang penyerang Korea Selatan, Son Heung-ming masih 50-50 untuk diturunkan.
Dengan isu kecederaan yang dihadapi kedua-dua pasukan, pengendali Spurs, Antonio Conte memberi bayangan akan melakukan pertukaran taktikal dan meletakkan tiga pemain di bahagian tengah.

“Meletakkan tiga pemain (di tengah) mungkin pilihan yang bagus kerana kami ada beberapa pemain yang baik untuk memenuhi formasi tersebut.
“(Yves) Bissouma bermain baik menentang Leicester (menang 6-2, 18 September lalu) dia benar-benar terintegrasi dengan Pierre (Emile Hojbjerg) dan (Rodrigo) Bentancur. Kombinasi ini boleh menjadi pilihan, bukan sahaja untuk esok tetapi masa depan kerana jika kita perlu memberi rehat kepada pemain lain.
“Pertukaran taktikal pasti berlaku. Persoalannya, siapa akan perangkap siapa,” kata Conte.
Selepas mendengar barisan bayangan yang mungkin digunakan Tottenham, Arteta juga bersedia melakukan pertukaran formasi daripada 4-3-3 yang biasa digunakan kepada 4-2-3-1.
Sekiranya Odegaard dan Partey boleh bermain, mereka akan membentuk trio 4-3-3 bersama Granit Xhaka, namun perubahan taktikal akan dilakukan bergantung kepada tahap kecergasan pemain.
Kebijaksanaan kedua-dua pengurus mencatur taktikal dan strategi bakal menjadi penentu siapa akan menguasai Emirates hari ini. – AGENSI