PETALING JAYA: Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Syahmi Safari telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat meneruskan perjuangan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bermula 8 hingga 14 Jun ini kerana masalah kesihatan.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, keputusan itu terpaksa dibuat selepas Syahmi dibawa ke hospital untuk ujian perubatan, pagi tadi akibat masalah sinus yang yang teruk.
“Syahmi dibawa ke hospital pagi tadi kerana masalah sinus dialaminya semakin teruk dan telah mendapat nasihat daripada doktor pakar untuk beliau menjalani rawatan susulan dalam kadar segera.
“Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain telah bersetuju untuk melepaskan Syahmi daripada kem latihan pusat kali ini supaya beliau dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini,” katanya.
Ekoran ketiadaan Syahmi ini, baki 29 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat termasuk bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Hong Kong, malam esok dan tiada penambahan pemain baharu buat masa ini.
Pada Mac lalu, bekas pemain Selangor FC yang menyertai JDT itu turut memohon pengecualian dari kem latihan pusat Harimau Malaya bagi aksi persahabatan di Singapura susulan kelahiran bayi kembar tiganya.- UTUSAN ONLINE