Perak bangkit raih kemenangan pertama - Utusan Malaysia

Perak bangkit raih kemenangan pertama

PEMAIN Selangor FC 2, S. Sharvin (tengah) diasak pemain Perak FC dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Perak, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak FC bangkit dalam baki lima minit permainan untuk mengecewakan Selangor II 2-1dalam saingan Liga Perdana di Stadium Perak, sebentar tadi.

Dua jaringan pemain simpanan Mohd. Farid Khazali pada minit ke-88 dan ke-90 membolehkan The Bos Gaurus mengutip mata penuh pertamanya.

Begitupun, anak-anak buah Yusri Che Lah hanya mampu bergembira untuk seketika kerana tiga mata itu hilang sekelip mata berikutan tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terhadap pasukan itu.

Tuan rumah di ambang kekalahan apabila George Tetteh Atram meledak gol Selangor ketika permainan berbaki 10 minit.

Dalam perlawanan yang bermula sejam lewat daripada biasa kerana bulan Ramadan, kedua-dua pasukan berbalas serangan tetapi gagal mencipta peluang.

Tuan rumah yang memburu kemenangan pertama selepas mengalami dua kekalahan, mempamer semangat juang tinggi di hadapan kira-kira 600 penonton.

Saingan 45 minit pertama berlangsung seimbang untuk pasukan terikat tanpa jaringan ketika wisel rehat dibunyikan.

Babak kedua menyaksikan Perak meningkatkan persembahan.

Usaha mereka berhasil tetapi jaringan K. Pavithran pada minit ke-50 tidak dikira kerana ofsaid.

Peluang keemasan tuan rumah menjelma lagi pada minit ke-58 tetapi Muhammad Aqil Hilman gagal menewaskan penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Selangor turut tidak berdiam diri apabila mencipta peluang tetapi gagal disudahkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya