KUALA LUMPUR: Proses penanaman rumput baharu di di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) akan bermula pada Januari tahun hadapan dengan kos dianggarkan mencecah sehingga RM1.4 juta.
Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bermurah hati menaja kos penanaman rumput baharu itu berkata, proses bermula agak lambat kerana mengikut jadual kekosongan SNBJ.
Tunku Ismail berkata, proses penanaman semula rumput dan baik pulih sistem saliran air di stadium berkenaan dijangka mengambil masa sehingga empat bulan sebelum boleh digunakan.
Selain itu kata Tunku Ismail, rumput jenis Zeon Zoysia akan digunakan di SNBJ kerana rumput jenis berkenaan lebih sesuai dengan keadaan cuaca dan iklim di negara ini.
“Kita mahu tukar segera, tetapi banyak program yang dijadualkan di sini (SNBJ). Jadi, akan mula sedikit lewat pada Januari tahun hadapan. Hari ini saya datang tinjau dan tengok keadaan padang di sini.
“Saya sudahkan arahkan pasukan untuk lihat sistem saliran agar apabila hujan keadaan padang tiada takungan dan tidak lecak. Kita akan guna kaedah yang sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim di Johor.
“Kos dianggarkan antara RM1.2 juta hingga RM1.4 juta dan kos penyelenggaraan pula kira-kira RM240, 000 setahun. Saya juga akan letak pasukan di sini untuk pemantauan,” kata Tunku Ismail dalam sidang akhbar.
Terdahulu, Tunku Ismail yang ditemani Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hadir ke SNBJ hari ini untuk melihat sendiri keadaan padang yang ketika ini menggunakan rumput jenis Cow Grass.
Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), penggunaan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan Cow Grass di SNBJ adalah lebih baik dan sudah terbukti apabila JDT turut menggunakan rumput yang sama di Stadium Sultan Ibrahim.
“Kalau bukan sekarang bila lagi?, isu rumput ini sebenarnya sudah berlarutan lama. Saya sendiri sudah lima tahun bersuara, jadi saya harap kelab lain juga selepas ini dapat ambil inisiatif untuk tukar rumput di padang masing-masing.
“Johor dan Terengganu sudah mulakan, harap ada yang ikut…Di SNBJ ini, saya mulakan dan saya harap kerajaan dapat bantu dalam soal penyelenggaran dan kosnya tidak lah begitu tinggi,” katanya.
Selain itu kata Tunku Ismail, bagi memastikan penjagaan rumput di padang SNBJ sentiasa berada dalam keadaan baik, pihaknya akan melihat untuk penggunaan mesin penyelenggara dan juga untuk tambah baik struktur tanah.
“Pihak stadium juga ada maklumkan bahawa di stadium ini mereka hanya ada masa dua jam sahaja untuk mendapatkan cahaja matahari. Jadi, saya harap pasukan yang ada tengok perkara ini,” katanya
Sementara itu kata Tunku Ismail, selepas proses pertukaran rumput berkenaan selesai, baginda merancang untuk menjemput kelab-kelab terkemuka untuk mengadakan perlawanan persahabatan di SNBJ.