Sang Kenari pertaruhkan ‘ubi muda’ - Utusan Malaysia

Sang Kenari pertaruhkan ‘ubi muda’

EDAH mungkin membariskan separuh pemain muda untuk menghadapi kelab Liga M3, Sains FC dalam pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedah Darul Aman (KDA) bakal mempertaruhkan separuh ‘ubi muda’ apabila berdepan pasukan Liga M3, Sains FC dalam aksi pembukaan Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor setar malam ini.

Selepas cemerlang dalam dua aksi pembukaan Liga Super, memberi pendedahan kepada pemain muda yang selama ini hanya memanaskan bangku simpanan mampu memberi persiapan lebih baik buat Kedah jika berdepan isu kecederaan selepas ini.

Pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak berkata, Kedah juga memiliki ramai bakat muda yang bekerja keras untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan ini masanya untuk mereka diberi peluang membuktikan kemampuan.

Dua penyerang muda, Fikhri Zulkiflee dan Afeeq Iqmal Rosli antara pemain yang mungkin diberi peluang beraksi bersama tonggak tengah, Aiman Afif Afizul, selain pertahanan Heshamudin Ahmad, Fareez Amirul Fadzil dan Kamil Akmal Abd. Halim.

“Pemain-pemain muda Kedah menunjukkan kesungguhan sepanjang latihan, mereka membuktikan sedia beraksi pada bila-bila masa diperlukan.

“Perlawanan Piala FA adalah peluang pasukan untuk menonjolkan pemain-pemain muda ini, mungkin kami akan melakukan rombakan dengan 50 peratus pemain utama Liga Super dikekalkan dan selebihnya diganti dengan pemain yang lebih segar,” kata Aidil.

Menurut jurulatih kelahiran Singapura itu, bukan memandang rendah keupayaan lawan, sebaliknya beliau percaya pemain muda Kedah juga mampu menggalas tugas memburu kemenangan.

Beliau juga mengingatkan mereka agar tidak mengambil mudah berdepan kelab Liga M3 yang mampu memberi ancaman tidak dijangka, apatah lagi mereka kurang arif tentang kekuatan lawan.

“Tidak boleh ambil ringan kemampuan lawan walaupun mereka dari liga berbeza. Tidak mustahil kejutan boleh berlaku kerana mereka juga bekerja keras seperti kami.

“Biarpun merehatkan beberapa tonggak dan berdepan lawan liga bawahan, misi kami adalah meneruskan momentum kemenangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya